Siapakah gadis ini dan bagaimana beliau mencapai target kehidupannya?
Lebih dua bulan lalu saya terserempak dengan seorang gadis muda di luar tapak karnival buku di bandar Kuala Kangsar, dia sedang fokus menjual apam balik mini berseorangan di bawah payung niaga bersebelahan kereta kancil terpakai miliknya. Saya memang telah mengenali gadis ini sebelum ini. Saya ingin menegurnya tetapi melupakan hasrat tersebut melihat kesibukannya melayan pelanggan. Saya cadang hendak bertanya, mengapa dia berjual apam balik di situ di dalam keadaan hujan renyai, sedangkan dia sudah ada kerja di restoran daripada pukul tiga petang hingga tengah malam bersama adik-beradiknya.
Lalu, pada minggu lepas, sewaktu meluangkan masa membeli makanan untuk anak istimewa saya di restoran tempat dia bekerja, terdengar desas-desus yang mengatakan bahawa anak kedua daripada lima beradik ini bakal menunaikan ibadah umrah pada bulan hadapan.
Lebih mengejutkan, saya mendapat tahu gadis tersebut berjaya mengumpul duit muka membeli rumah dan menyertai pakej umrah dengan menggunakan duit niaga hasil projek apam balik mininya selama enam bulan secara sendirian.
Itu adalah isu utama yang menarik perhatian saya untuk lebih ambil tahu. Betulkah dia menggunakan hanya duit jualan apam balik mini selama enam bulan untuk membeli rumah dan pakej umrah atau sebenarnya ada bantuan-bantuan lain? Berapakah hasil sebenar yang diraihnya sepanjang bulan-bulan itu? Bagaimana dia menguruskan kewangan? Bagaimana dia mengurus masa bekerja? Dan apa yang menyebabkan dia begitu tekad?
Saya merajinkan diri keesokan harinya untuk berjumpa dengan anak gadis yang bernama Nurul Syahira binti Mohamad yang akan berusia 24 tahun, pada tahun ini. Mahu saya bertanya sendiri perjalanan kisah yang sebenar cabaran enam bulan yang dihadapinya untuk mencapai target.
Ini kisah seorang gadis muda, yang mula menyimpan impian membeli rumah sewaktu usianya 23 tahun. Enam bulan kemudian, dia telah berjaya mengumpul jumlah duit muka untuk membeli rumah yang diidamkannya beserta sejumlah wang untuk menunaikan umrah!
Bermula tahun lepas, sewaktu usianya menginjak 23 tahun, Syahira telah bertekad untuk membeli rumah pertamanya. Dia memulakan usahanya dengan membuat perniagaan sambilan menjual wafer di kantin sebuah universiti di bandar ini awal tahun lepas. Namun kemudian Syahira mengubah fikirannya untuk menjadi seorang penjaja apam balik mini kerana pernah berpengalaman menjual apam balik mini di gerai bapanya sebelum PKP tahun 2020. Dengan wang simpanan yang ada, dia telah membeli sebuah kereta kancil terpakai berharga RM2300 atas nasihat dari kakak dan abang iparnya, idea berniaga menggunakan kancil. Sementara hasil jualan wafernya digunakan sebagai modal untuk memulakan perniagaan apam balik mini. Tiada campur tangan wang bapanya melainkan restu yang dipinta setiap hari sebelum memulakan perniagaan.
Kata Syahira, dia sangat mementingkan restu ibu bapanya setiap hari sebelum memulakan perniagaannya seawal 7.00 pagi. Perkara pertama yang akan dilakukan selepas subuh sebelum memulakan perniagaan ialah bersalaman dengan orang tua untuk meminta doa dan restu. Dia percaya, itulah perkara yang memberkahi usahanya untuk mencapai apa yang diimpikan. Ayahnya seorang peniaga yang sangat tegas berkenaan menepati masa, anak-anaknya telah terdidik untuk berdisiplin dan mengotakan kata apabila mengusahakan sesuatu dan elakkan bercakap kosong tanpa sebarang tindakan yang pantas.
Syahira dan adik-beradiknya sangat menghormati pendirian bapanya, malah mereka sentiasa berdikari dan berusaha sendiri untuk mendapatkan sesuatu yang mereka inginkan. Tidak ada benda yang mereka boleh dapat dengan mudah tanpa usaha keras.
Berbekalkan kereta kancil, peralatan memasak apam balik mini, dan payung niaga, Syahira telah meredah beberapa kawasan untuk penjaja berlesen memulakan perniagaan. Seawal 7.00 pagi keluar dari rumah untuk berniaga sehingga waktu tengahari dan kemudian rehat sebentar. Adakalanya tidak sempat pulang ke rumah, menunaikan solat zuhur di surau-surau awam berdekatan, kemudian masuk kerja pukul tiga petang di restoran pula. Sudah menjadi kebiasaannya tidur selewat 1 pagi dan bangun sekitar pukul lima pagi untuk memulakan hari bekerja. Dia menjaja apam balik selama tujuh hari seminggu tanpa henti bagi tempoh enam bulan, sementara bekerja di restoran, enam hari setiap minggu.
Kerja kerasnya berbaloi kerana pulangan jualan apam baliknya sehari yang diraih adalah sekitar RM600 dengan pendapatan bersih sekitar RM300. Perniagaannya diteruskan di waktu petang dengan mengupah seorang pekerja dibayar gaji RM40 untuk setengah hari bekerja.
Walaupun usaha menghidupkan jualan apam baliknya dilihat agak mudah kerana telah berpengalaman, namun cabaran yang dilalui oleh gadis muda ini tetap ada dan tidak pula mematikan semangatnya untuk berhenti berniaga serta tidak pula menyebabkan dia mencari musuh dalam perang penjaja.
Kali pertama masuk menjaja ke kawasan pasar sekitar pekan Karai, apam balik mininya mendapat sambutan yang menggalakkan. Kemudian Syahira menjaja di kawasan sebuah pasaraya. Namun mendapat tentangan dari peniaga lain di kawasan itu. Syahira masih meneruskan perjuangannya menjaja selagi tiada perkara yang memberi ancaman bahaya ataupun yang menyalahi undang-undang. Selepas empat bulan, dia mencuba lagi meneroka kawasan jaja di tempat lain dengan kereta kancilnya. Ada masa dihalau oleh pihak berkuasa tempatan, dia akur. Ada masa dimarahi oleh peniaga lain yang tidak mahu dia menjaja berdekatan kedai mereka, juga dia akur. Syahira meneruskan pencarian rezekinya di tempat-tempat yang lain pula tanpa mengalah.
Akhirnya selepas enam bulan tanpa henti menjaja apam balik mini, dia berjaya mengumpulkan jualan bersih tidak kurang RM36000 (jualan kasar lebih RM72 000). Ini melebihi daripada target awalnya ingin mengumpulkan sebanyak RM25000 duit muka membeli rumah subsale dua tingkat yang berharga RM250 000. Keuntungan yang selebihnya digunakan untuk menyertai sebuah pakej umrah yang akan berlepas ke tanah suci pada bulan hadapan.
Selepas mencapai target, perniagaan sambilan apam balik mininya masih diteruskan tetapi dengan momentum yang lebih perlahan dari sebelumnya. Perniagaannya tetap diteruskan kali ini empat hari seminggu di tapak tetap pasar pagi dan pasar malam sekitar Kuala Kangsar dengan pendapatan yang sedikit berkurangan kerana tidak lagi berjaja di merata tempat, namun masih mampu menampung biaya bulanan serta mengupah seorang pekerja menjual apam balik mini.
Menurut Syahira, dia merupakan bekas pelajar sijil dalam bidang Proses Makanan dari Kolej Komuniti. Gadis ini tamat sijil dengan mendapat anugerah pelajar terbaik untuk kursus tersebut. Sebelum itu dia mendapat pendidikan menengahnya di Sekolah Agama Ad-diniah, Padang Rengas. Tamat kursus pensijilannya, Syahira telah bekerja di restoran milik ayahnya dan memperbaharui menu-menu makanan barat seperti yang dipelajarinya sewaktu berkursus.
Syahira mempunyai jadual kerja hakikinya dari pukul 3 petang hingga 12 tengah malam di restoran dengan pendapatan bulanan sebanyak RM1700 beserta caruman SOCSO dan KWSP. Dia sudah bekerja di restoran itu semenjak usianya 21 tahun.
Saya mendengar ceritanya dengan rasa kagum atas tekadnya dan disiplin kerja kerasnya dia telah mencapai sasarannya. Dia masih muda. Belum mempunyai keluarga sendiri. Bagaimana dia memanfaatkan sepenuh masa mudanya dan tenaga mudanya untuk mencapai sebuah impian adalah sesuatu yang wajar dijadikan pencetus semangat kepada anak muda yang lainnya. Dia tidak membuang masa, apatah lagi melakukan perkara yang di luar batasan hanya untuk mendapatkan apa yang dicita-citakannya. Wang ringgit selalunya mengaburi mata kita dalam memisahkan antara yang hak dan batil, asal saja memberi pulangan yang lumayan dengan mudah.
Pujian turut diberikan kepada ibu bapanya kerana didikan awal yang diterapkan dalam diri anak-anak. Menurut bapa Syahira, anak-anaknya sejak usia tujuh tahun sudah didispilinkan dan diajar tentang resam berniaga, mereka dibawa sekali ke tempat beliau menjaja, berniaga untuk memberi pembelajaran melalui pengalaman dan apa yang disaksikan dengan mata kepala sendiri. Pengalaman akan mendewasakan insan. Kasih sayang dan perhatiannya terhadap anak-anak ialah dengan cara mengajar mereka menjadi manusia yang rajin berusaha, berdisiplin dari segi masa, bersabar dalam mengejar matlamat dan cita-cita biarpun perlu kerja keras. Dia juga tidak menidakkan hak anak-anaknya sebagai pekerja, menjelaskan bayaran sama sahaja dengan pekerja yang lain dengan caruman SOCSO dan KWSP yang sepatutnya dan ini memudahkan keadaan.
Setiap kali anak-anaknya menyatakan hasrat atau cita-cita yang ingin dicapai dalam perniagaan, dialah orang pertama yang akan memberi galakan dan cadangan-cadangan bernas serta memastikan anak-anaknya tidak bertangguh. Kata Syahira, sifat bertangguh adalah sifat yang paling tidak disukai oleh bapanya. Disebabkan itu, sebaik sahaja dia menyatakan hasrat kepada bapanya tentang projek apam balik mini, dia telah digesa oleh bapanya untuk memulakan perniagaan itu serta-merta tanpa bertangguh lagi.
Selain itu, status Syahira sebagai anak kepada pemilik restoran Mat rezki menyebabkan usahanya sering dipandang remeh saja atau diperkecilkan kerana kebanyakan orang menyangka dia atau adik-beradiknya yang lain sentiasa mendapat bantuan kewangan atau dimewahkan bapanya. Perkara itu adalah tidak benar sama sekali dan hakikat sebenar sangatlah berlainan dari sangkaan orang ramai. Keperluannya, malah telefon pintarnya semua dibeli dengan hasil titik peluh sendiri. Kehidupannya tidak mewah dan tidak berboros-boros. Bapanya orang yang sangat tegas dengan anak-anak apabila melibatkan kemahuan atau keperluan tidak kira jantina sama ada lelaki atau perempuan.
Maka saya simpulkan di sini, perkara yang perlu ditekankan apabila kita hendak maju ke hadapan ialah kita perlu memiliki sasaran atau matlamat hidup yang hendak dicapai. Kemudian, perkuatkan tekad serta disiplin dalam mencapainya tanpa banyak bertangguh atau mempersoalkan.
Sasaran dan matlamat yang diletakkan perlulah selaras dengan keadaan kemampuan kita. Jika kita masih seorang anak muda yang tidak punya banyak tanggungjawab, sasaran dan matlamat kita tentu lain tahapnya dan liku-likunya berbanding kita yang sudah berkeluarga atau hidup membawa status-status tertentu dalam masyarakat. Akhir sekali, dapat dilihat dengan jelas di sini betapa besarnya peranan yang dimainkan oleh seorang bapa dalam membentuk keperibadian anak-anak jagaannya. Jadilah ibu bapa yang memberi ‘vibe’ positif kepada anak-anak agar anak-anak berkembang menjadi orang yang berguna dan berjiwa besar.
What do you think?